Hidup terasa payah? Hidup terasa  sesak?
 Ada waktu kita rasa  demikian. Kadangkala apa yang kita usahakan seakan tidak membuahkan  hasil. Bahkan lebih teruk lagi, usaha kita menghala ke arah lain yang  kelihatannya lebih memberikan keburukan kepada kita.
 Kadangkala kita  memandang ke langit dan menjerit: “Ya Allah, kenapa hidup aku begini?”
 Tertanya-tanya. Rasa  seperti hendak menyalahkanNya.
 Sebab kita percaya  bahawa kehidupan kita tertakhluk di dalam takdirNya.
 Mengapa aku  disusahkan? Bermain-main di dalam jiwa.
 Namun hakikatnya,  apakah benar kita disusahkan?
 Atau hakikatnya  kitalah yang menyusahkan diri kita sendiri?
 
Kehidupan kita di atas apa?
Melihat semula kehidupan kita, di  atas tapak apakah kita berpijak?
 Apakah di atas tapak  yang dibina dengan keimanan kepada Allah SWT, atau di atas tapak nafsu  rekaan manusia?
 Adakalanya sebahagian  kita menyangka bahawa kita telah mendirikan kehidupan kita di atas  Islam sepenuhnya. Akhirnya kita hendak berkata: “Aku dah amal Islam pun,  masih susahkah?”
Tetapi apakah betul bahawa kita  telah mengamalkan Islam secara benar?
Kadangkala, Islam kita hanya pada  solat dan puasa, tidak pada belajar dan kerja. Tidak pada rumah tangga  dan pengurusan keluarga. Tidak pada kehidupan dan aturcaranya.
Islam adalah sumber kedamaian dan  kebahagiaan.
Namun kita tidak bersungguh-sungguh  mengambilnya. Kita mengambilnya separuh-separuh. Secebis-secebis.  Sewaktu-sewaktu.
Itulah hakikatnya punca utama  kesusahan kita.
“Dan jika Allah  mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada  sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika  Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha  Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” Surah  Al-An’am ayat 17.
 
 
Memandang positif kesukaran
Ujian adalah tarbiyah direct  daripada Allah kepada kita.
 Itu adalah ungkapan  yang menjadi motivasi saya. Saya fikir, yang menjadikan Rasulullah SAW  dan para sahabat tegar menjunjung Islam dalam sepenuh kehidupan mereka  adalah dugaan dan cabaran yang telah mereka lalui.
 Bukannya mereka tidak  pernah kecewa atau merasa sukar dengan perjuangan mereka. Bahkan mereka  pernah tertanya-tanya di manakah pertolongan Allah kerana risau akan  ketewasan mereka. Namun apabila mereka berjaya mengharungi kesukaran  demi kesukaran, mereka akan tertingkat.
 “Adakah  patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum  sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada  orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan  (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh  ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang  beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”  Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu  bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah  Al-Baqarah ayat 214.-Sy sgt suka ayat nie...huhuhu
  
 Hal ini kerana,  kesukaran adalah tarbiyah.
 Janganlah memandang  serong dengan kesusahan yang datang bertimpa. Pandanglah ia sebagai satu  bentuk kasih sayang Allah kepada kita. Bila susah, hingga tiada manusia  mampu menjadi tempat bergantung kita, kita hanya tinggal dua pilihan.  Merapat kepada Allah atau memakiNya.
 Biasanya manusia akan  memilih untuk memakiNya.
 Maka mengapa kita  tidak memilih yang satu lagi?
 Mungkin sahaja Allah  hendak menyelamatkan kita dari kenikmatan dunia yang menipu daya, dan  hendak memberikan kita Syurga di akhirat yang kekal abadi selama-lamanya  kepada kita?
 Siapakah yang pernah  memandang demikian?
 
Hairan dengan kecekalan mereka
Tidakkah kita merasa hairan akan  manusia-manusia seperti Sumayyah dan suaminya Yassir?
 Mereka itu mati  sebelum mencapai kemenangan. Kesukaran datang kepada mereka  bertimpa-timpa. Sedang mereka itu mengambil Islam sepenuhnya. Tetapi  mengapa anak mereka Ammar, tidak pula mencaci Allah atas kematian kedua  orang tuanya?
 Tidakkah kita merasa  hairan akan Anas bin Nadhr RA? Dia mati di medan Uhud dengan 80 tusukan  pada tubuhnya. Dia mati dalam keadaan wajahnya hampir sahaja tidak  dikenali sesiapa. Tinggal adik perempuannya sahaja mengenalinya melalui  cincin di jarinya.
 Dia mati sebelum  mencapai kesenangan. Islam sebelum perang Uhud belum lagi mencapai  kemenangan yang membuatkan ummatnya bersenang lenang di dunia. Tetapi  mengapa adiknya tidak pula mencaci maki Allah atas kematian Anas  sebegitu rupa?
 Tidakkah kita hairan  melihat Hamzah bin Abdul Muttalib RA? Dia juga mati di medan Uhud.  Bahkan mati dalam keadaan yang amat mencucuk jiwa. Hatinya dimamah dan  tubuhnya dilapah-lapah. Hidung dan telinganya dipotong. Hingga  Rasulullah SAW juga menjeruk rasa bersedih hati, hingga Rasulullah SAW  terpaksa menghalang makciknya Safiah bte Abdul Muttalib dari melihat  Hamzah.
 Hamzah mati sebelum  merasai kesenangan. Mengapa Rasulullah SAW atau Safiah bte Abdul  Muttalib tidak menghina Allah SWT ketika itu dan menyatakan bahawa Allah  tidak adil dengan menurunkan kesusahan demi kesusahan?
 Kita hairan. Apakah  yang membuatkan mereka kekal tabah? Bahkan bukan semata-mata tabah  bertahan rasa. Mereka terus tulus berjuang menegakkan agamaNya.
 Apa yang menggerakkan  mereka? Apa yang mencuci kelukaan mereka apabila ditimpa kesukaran demi  kesukaran? Apakah yang merawat jiwa mereka?
 Saya tiada jawapan  lain melainkan keimanan yang sempurna kepada Allah SWT.
 
Kadangkala kerana dosa kita juga
Dan kalau kita perhatikan dengan  lebih teliti, kadangkala kesusahan yang menimpa kita adalah kerana  dosa-dosa kita juga.
 Mungkin sahaja Allah  tidak memudahkan urusan kehidupan kita adalah kerana kita melakukan  maksiat dan pengingkaran terhadapNya.
 Sepatutnya, apabila  kita sedar akan hal ini, perkara utama yang perlu kita lakukan dalam  hendak menyelesaikan masalah yang menimpa bukanlah terus pergi kepada  permasalahan teknikal masalah itu. Tetapi apa kata kita terus bersimpuh  dan bertaubat kepada Allah akan dosa yang telah kita lakukan?
 Saya percaya, ujian  Allah adalah tanda kasih sayangNya.
 Mengapa saya katakan  demikian?
 Kerana dengan Dia  menguji kita, kita sedar akan kesilapan kita kepadaNya, lantas kita  bertaubat, dan Allah membersihkan dosa kita.
 “Dan  (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh  serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan  menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan  mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila  sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di  antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta  mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti  kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji,  lagi amat tidak mengenang budi.”  Surah Luqman ayat 32.
 Kalau dia tidak menguji kita  walaupun kita berdosa? Itu istidraj namanya. Apakah istidraj? Istidraj  adalah kenikmatan yang Allah berikan walaupun kita ini ingkar kepadaNya,  bukan untuk menandakan Dia tidak kisah akan dosa kita, tetapi  menandakan bahawa Dia tidak lagi peduli dengan kita dan hendak  membiarkan kita ke neraka. Maka apalah sangat nikmat dunia yang sedikit  ini Dia berikan terlebih dahulu kepada kita, berbanding nerakaNya yang  sangat dasyat yang akan Dia berikan kepada kita di akhirat sana.
 
Penutup: Allah sentiasa memberikan yang terbaik. Kita sahaja  yang tidak mensyukuriNya
Saya kira, kalau kita ini benar  hamba yang beriman kepada Allah SWT, kita akan mampu melihat betapa  segala pemberian Allah kepada kita adalah pemberian yang terbaik.
 Baik kesenangan,  mahupun kesukaran. Semuanya terbaik.
 Tinggal kita sahaja  tidak belajar untuk bersyukur dalam erti syukur yang sebenarnya.
 Kita sahaja yang suka  bersangka buruk kepada Allah SWT.
 Sedangkan, yang  mengetahui baik atau buruk untuk kita hanyalah Allah SWT.  
“Kamu diwajibkan  berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah  perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu  padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu  padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui  (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”  Surah Al-Baqarah ayat 216.
 Siapakah kita untuk  menyalahkanNya atas apa yang Dia timpakan kepada kita?
 Diri sendirilah yang  sepatutnya kita persalahkan hakikatnya.
 “Dan  apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana),  maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari  perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah  memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”   Surah Asy-Syuura ayat 30.
 
 
Saya sungguh  tersentuh setiap kali dengar lagu nie. Hati saya jadi rindu.....agung sungguh jasamu Rasulullah s.a.w.....Ya Allah , kuatkan lah hatiku sekuat hati rasul-Mu dalam melalui jalan juang ini....hadirkanlah shafaat-Nya padaku...